Friday, July 23, 2010

remaja dan tembakau


Assalamualaikum..

kisah tentang remaja perokok.


Daun tembakau sepuluh dinar,
dibawa pedagang Tanjung Lata,
kisah disaji kisah yang benar,
kisah tentang remaja kita.

Susu kerbau penuh sebelanga,
dititis nila rosak segalanya,
daun tembakau banyak bahana,
walaupun dikaji ada ubatnya.

Terus cair puteri lilin,
puteri tiada mengenal kasih,
kini dicampur akan nikotin,
sekali rasa terus ketagih.

Sirih kapur dibeli bangsawan,
kunyah sirih sampai lumat,
mulanya dahulu pengaruh kawan,
agar diri lebih dihormat.

Hang Tuah berbadan sasa,
Hang Li Po pula cantik jelita,
boleh jadi sendiri terasa,
kerna itu lumrah remaja.

Tuah Jebat saling kelahi,
masing-masing pertahan diri,
pada mulanya sebelum berahi,
nampak asap terus lari.

Tuah Jebat tikam berbalas,
mana Hang Lekir dan yang lain?
sedang member hisap di tandas,
dia tolong member cover line.

Hang Lekir belayar ke Pulau Dahap,
Lekiu Kasturi tinggal berdua,
selepas member habis hisap,
tukar shift lah, dia nak juga!

Kerongsang puteri retak merekah,
kerongsang dibawa pedagang Cina,
itu baru kisah di sekolah,
selepas SPM ganja pula.

Puteri Embun berlesung pipit,
dihias solek bedak merah,
dadah khayal serta merempit,
langsung badan pecah berdarah.

Tebing sungai ditanam tebu,
ditusuk tanam nan ke hulu,
menangis bapa menangis ibu,
hilang anak yang dikandung dulu.

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Pulau Redang lebih dekat,
jangan dipersalah mak ayah,
kita saling hidup bermasyarakat.

Bercerai badan bercerai-berai,
sudah cerai kembali bersatu,
walau kerajaan naikkan cukai,
tetap kita masih mampu.

Tuan YB memakai songkok,
Puan Sri berkebaya biru,
jahanamlah kau wahai rokok,
jangan harap kau nak goda aku!



Ambil rokok, jadikan bunga. Simbolik kepada penghentian merokok.




tekan "like" di bawah ini jika anda bukan seorang perokok.